Ahad, 27 Ogos 2017

Entri 4: Sulaman Manik

Pada tahun 2010, saya ada mengikuti satu kelas solekan pengantin. Diantara projek yang perlu saya siapkan adalah sesi fotografi hasil solekan dan dandanan model pengantin. Semasa menyelesaikan projek inilah tenaga pengajar memperkenalkan teknik sulaman manik untuk membuat aksesori penganti seperti tiara dan gelang.

Sebelum ini saya hanya tahu teknik sulaman manik hanya sesuai untuk menaikkan seri busana pengantin atau pakaian untuk acara istimewa sahaja. Tetapi teknik sulaman manik ini juga boleh digunakan untuk menghasilkan aksesori wanita seperti keronsang dan loket. Buku kraf yang dibeli di Kinokuniya Suria KLCC ini adalah bahan rujukan utama saya dalam menghasilkan aksesori sulaman manik.




Bahan dan alatan yang digunakan dalam tutorial dari buku tersebut saya dapatkan dari laman web www.beading.my

Ini adalah contoh hasil kraf sulaman manik yang saya hasilkan beberapa tahun lepas. 










  


Jumaat, 25 Ogos 2017

Entri 3: Beg Crochet Mama (Bahagian 1)

Teks & Gambar: Aida Yusoff

Saya memang suka memberi hadiah harijadi dan kad ucapan yang dibuat sendiri untuk ahli keluarga. Jika masa mengizinkan. Tahun ini mama minta buatkan beg crochet seperti contoh beg kepunyaan rakan kelas mengajinya.

Nasib baik ada contoh, mudah sikit untuk saya anggarkan saiz dan jenis jahitan crochet untuk beg tersebut. Beg contoh tersebut menggabungkan tiga keping granny squares berukuran 10 inci kali 10 inci, 2 kepingan granny square berukuran 4 inci kali 4 inci dan tali beg tersebut saya akan gunakan jahitan tunisian crochet. 

Uniknya granny square tersebut sebab ada barisan jahitan single crochet diantara barisan double crochet dengan menggunakan warna benang kait yang berlawanan. Saya memilih warna coklat gelap dan merah jambu lembut. Saya risau juga jika gabungan dua warna ini tidak cantik. Disini saya kongsi video membuat granny square dari Bella Coco.  

Semasa saya membuat nota untuk entri ini, saya baru sahaja menyiapkan 3 kepingan granny square 10 inci kali 10 inci. Saya akan sambung mengenai beg crochet mama ini dalam bahagian 2. Terima kasih kerana sudi membaca. 

Entri 2: Langkah pertama ke dunia seni kraf

Teks & Gambar: Aida Yusoff

Selepas entri pengenalan diri, saya suka hendak berkongsi dengan pembaca blog ini bagaimana saya mula berjinak-jinak dengan dunia seni kraf.

Saya membina rumahtangga pada usia muda, sejurus selepas habis peperiksaan semester akhir program ijazah di UTP. Setahun sebelum itu kami telah bertunang. Saya agak terkejut dengan kos yang digunakan untuk membeli barang-barang hantaran pertunangan. Untuk menjimatkan belanja yang bakal digunakan semasa majlis pernikahan nanti saya nekad hendak mencuba membuat sendiri hantaran perkahwinan, bunga telur dan juga cenderahati istemewa untuk keluarga terdekat dan sahabat rapat.

Perkara pertama yang saya lakukan adalah membina koleksi rujukan dengan membeli senaskhah majalah perkahwinan. Alhamdulillah dalam majalah itu ada beberapa artikel mengenai kraf perkahwinan dan fokus pada buatan sendiri atau do-it-yourself (DIY). Tetapi contoh-contoh di dalam majalah itu tiada yang berkenan di hati.


Selepas itu saya pergi ke sebuah kedai menjual bahan dan alatan kraf perkahwinan. Kedai tersebut juga menjual contoh bunga telur dan cenderahati perkahwinan. Terdapat satu bekat potpourri yang sangat cantik dan ringkas. Saya terus beli contoh cenderahati tersebut dengan harapan saya boleh buat sendiri. 

Alhamdulillah, saya dapat mengikut contoh tersebut. Saya masih simpan lagi satu cenderahati potpourri itu. Walaupon warna reben telah pudar namun pengalaman menyiapkan sendiri cenderahati, bunga telur dan hantaran perkahwinan masih lagi segar dalam ingatan walaupon 13 tahun telah berlalu.








Jumaat, 4 Ogos 2017

Entri 1: Salam perkenalan

Saya Aida Yusoff, ahli keluarga biasanya panggil Along atau Aida. Panggilan manja daripada permata-permata hati ialah Mak dan anak-anak saudara panggil saya Makda. Dari sini saya namakan bisnes kraf saya ini sebagai Makda Crafts.

Saya menghabiskan zaman sekolah menengah di Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer dari tahun 1994 hingga 1998 dan selepas tamat SPM saya mengikuti 
program Ijazah Kejuruteraan Kimia  dengan kepujian  pada June 2004 di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak.


Pengalaman bekerja saya amat pendek, hanya dua tahun di Petronas Research Sdn Bhd dan dua tahun di Orogenic Resources Sdn Bhd. Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus kepada anak-anak kerana encik suami selalu bertugas di pelantar minyak. 

Pengalaman bisnes saya tidak lama. Baru setahun dua jagung. Saya dan kakak ipar memulakan perniagaan pakaian muslimah ibu dan anak secara kecil-kecilan dengan jenama kami sendiri pada Oktober 2015. Alhamdulillah, kami masih lagi bertatih dan belajar banyak dari pengalaman kami menjalankan perniagaan ini.

Beberapa tahun sebelum memulakan perkongsian niaga dengan kakak ipar, saya hanya mengambil tempahan hantaran perkahwinan dan mengandam pengantin di kalangan saudara mara dan sahabat handai sejurus selepas berhenti kerja. Sambil itu saya juga mula berjinak-jinak mengikuti bazaar kraftangan di sekitar Lembah Klang untuk memasarkan hasil kraftangan sendiri.

Saya amat meminati pelbagai jenis kraftangan yang mudah seperti kraf crochet, jahitan manik, kumihimo dan juga kraf kad ucapan. Kebanyakan kraf ini saya belajar melalui buku, tutorial dari blog-blog dan juga video-video di YouTube. Kraf perkahwinan seperti hantaran dan bunga telur, jahitan manik pakaian pengantin dan sulaman manik adalah cinta pertama saya dalam dunia kraf.

Jenis buku yang suka dibaca semestinya buku-buku dan majalah kraftangan. Selain itu buku cereka fantasi seperti The Southern Vampire Series, Harry Potter dan Twilight Series juga buku-buku kegemaran saya.

Saya sangat berharap dapat memulakan blog ini untuk berkongsi pengalaman dan hasil kraf yang pernah saya hasilkan. Selain itu saya ingin berkongsi ilmu kraf yang saya ada melalui tutorial dan video yang akan saya muatnaik di blog ini di masa hadapan.

Saya harap pembaca semua dapat menyokong usaha saya ini dan kata-kata semangat dan kritikan membina sangat-sangat saya hargai, terima kasih.