Saya Aida
Yusoff, ahli keluarga biasanya panggil
Along atau Aida. Panggilan manja daripada permata-permata hati ialah Mak dan
anak-anak saudara panggil saya Makda. Dari sini saya namakan bisnes kraf saya ini sebagai Makda Crafts.
Saya menghabiskan zaman sekolah menengah di Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer dari tahun 1994 hingga 1998 dan selepas tamat SPM saya mengikuti program Ijazah Kejuruteraan Kimia dengan kepujian pada June 2004 di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak.
Pengalaman bekerja saya amat pendek, hanya dua tahun di Petronas Research Sdn Bhd
dan dua tahun di Orogenic Resources Sdn Bhd. Saya mengambil keputusan untuk
berhenti kerja kerana ingin fokus kepada anak-anak kerana encik suami selalu
bertugas di pelantar minyak.
Pengalaman
bisnes saya tidak lama. Baru setahun dua jagung. Saya dan kakak ipar memulakan
perniagaan pakaian muslimah ibu dan anak secara kecil-kecilan dengan jenama
kami sendiri pada Oktober 2015. Alhamdulillah, kami masih lagi bertatih dan
belajar banyak dari pengalaman kami menjalankan perniagaan ini.
Beberapa tahun sebelum memulakan perkongsian niaga dengan kakak ipar, saya hanya mengambil tempahan hantaran perkahwinan dan mengandam pengantin di kalangan saudara mara dan sahabat handai sejurus selepas berhenti kerja. Sambil itu saya juga mula berjinak-jinak mengikuti bazaar kraftangan di sekitar Lembah Klang untuk memasarkan hasil kraftangan sendiri.
Saya amat
meminati pelbagai jenis kraftangan yang mudah seperti kraf crochet, jahitan
manik, kumihimo dan juga kraf kad ucapan. Kebanyakan kraf ini saya belajar
melalui buku, tutorial dari blog-blog dan juga video-video di YouTube. Kraf
perkahwinan seperti hantaran dan bunga telur, jahitan manik pakaian pengantin dan
sulaman manik adalah cinta pertama saya dalam dunia kraf.
Jenis
buku yang suka dibaca semestinya buku-buku dan majalah kraftangan. Selain itu
buku cereka fantasi seperti The Southern Vampire Series, Harry Potter dan
Twilight Series juga buku-buku kegemaran saya.
Saya
sangat berharap dapat memulakan blog ini untuk berkongsi pengalaman dan hasil
kraf yang pernah saya hasilkan. Selain itu saya ingin berkongsi ilmu kraf yang
saya ada melalui tutorial dan video yang akan saya muatnaik di blog ini di masa
hadapan.
Saya harap pembaca semua dapat menyokong usaha saya ini dan kata-kata semangat dan kritikan membina sangat-sangat saya hargai, terima kasih.
Assalamualaikum..selamat berkenalan.
BalasPadam